APA YANG TERBARU?
Loading...

Tiada tercicir penyampaian pendidikan alaf baharu - PM Tan Sri Muhyiddin Yassin


KUALA LUMPUR: Pendidikan digital menjadi instrumen penting kepada dunia pendidikan hari ini bagi menjamin pengajaran dan pembelajaran (PdP) terutama ketika pandemik dengan memastikan tiada gangguan dalam proses pembelajaran.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, sejak lebih setahun lalu, proses PdP konvensional sudah banyak bergantung kepada pembelajaran secara dalam talian yang kini menjadi kebiasaan baharu dalam sistem pendidikan negara.

Beliau berkata, dalam agenda pendidikan inklusif ini, kerajaan akan memberikan tumpuan untuk mengurangkan kadar keciciran murid dan memastikan golongan tertentu termasuk murid Orang Asli dan pribumi turut menerima pendidikan seperti murid yang lain.

"Pendidikan digital menjadi pilihan sebagai kaedah PdP untuk memastikan murid kekal menerima pendidikan walaupun sekolah ditutup.

"Perubahan yang berlaku jelas membuktikan bahawa konsep pembelajaran tidak harus terperangkap di antara 'four walls of room'. Konsep pembelajaran yang baik mestilah relevan pada setiap masa dan setiap tempat.

"Dalam suasana norma baharu, penyampaian perkhidmatan secara maya sudah mula meluas khususnya warga pendidik," katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri sempena sambutan Hari Guru, hari ini.

Muhyiddin berkata, biarpun guru berhadapan cabaran melaksanakan PdP secara dalam talian terutamanya apabila PdP di rumah (PdPR) dilaksanakan, namun ramai dalam kalangan guru berjaya menghasilkan pelbagai bentuk bahan PdP bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran.

"Ini suatu proses yang mempunyai ruang penambahbaikan luas dan saya berharap Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mendengar cadangan dan input daripada setiap lapisan warga pendidik, ibu bapa dan anak-anak sendiri demi menambahbaik pendekatan PdP dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan pendidikan digital sebagai elemen dalam Pembelajaran Abad ke-21 juga sejajar anjakan ketujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam melaksanakan e-pembelajaran, iaitu pengajaran berteraskan ICT.

Katanya, PPPM juga berhasrat mewujudkan sistem pembelajaran yang bersifat dinamik dan berkesan, selain relevan dan fleksibel pada setiap masa dan tempat.

"Untuk itu, guru hendaklah menyediakan 'mindset' bahawa alam sejagat ini adalah kelas pembelajaran sepanjang hayat bagi anak-anak kita. Ini menuntut guru untuk berusaha melahirkan murid yang beradab, cemerlang dan mempunyai sifat ingin tahu.

"Anak-anak yang ingin kita lahirkan haruslah mampu berdepan bukan saja dengan keperluan pasaran kerja semasa, tetapi bersedia menjadi anggota masyarakat yang berakhlak mulia dan bertamadun serta mampu berdaya saing pada peringkat global," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sejak 15 Jun tahun lalu, KPM sudah mengumumkan platform baharu pembelajaran digital untuk guru, pendidik dan murid, iaitu Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).

"Platform ini salah satu peluang untuk guru berusaha memperkasa diri dalam membangunkan bahan pengajaran dan pembelajaran secara digital.

"Guru-guru kini mengorak langkah menguasai pelbagai aplikasi digital pendidikan untuk kegunaan PdP secara dalam talian yang membolehkan murid-murid dapat mengikuti kaedah pembelajaran normal baharu. - BHARIAN


Guru Malaysia tambah baik kemahiran digital - Datuk Dr Radzi Jidin


KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata ada hikmah di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19 apabila guru di negara ini mula menambah baik kemahiran digital mereka demi menyampaikan ilmu kepada pelajar.


Beliau berkata senario itu berlaku sejak PKP 1.0 dilaksanakan pada Mac tahun lalu selepas sekolah terpaksa ditutup dan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu dijalankan.


"Nyata guru-guru kita ini hebat. Sebelum PKP ramai guru belum terdedah dengan pendigitalan, tetapi kita lihat dari PKP 1.0 hingga PKP 3.0, Alhamdulillah, guru-guru mula menggunakan ruang ini mengambil inisiatif menambah baik dan mempelajari kaedah digital demi memastikan ilmu dapat disampaikan," katanya dalam rancangan Bual Bicara Khas Hari Guru bersama Menteri Kanan Pendidikan, hari ini.


Program berkenaan disiarkan menerusi FB Live dan Saluran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersempena Hari Guru ke-50 bertemakan 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu'.


Radzi mengakui penutupan sekolah sepanjang tempoh diduga dengan pandemik itu adalah cabaran yang besar kepada guru kerana mereka sukar melihat pembabitan murid atau pelajar dalam sesi pembelajaran.


Justeru, beliau berkata mekanisme PdPR ditambah baik secara kreatif oleh guru termasuk disebabkan oleh kekangan kemudahan teknologi.


Beliau turut berkata COVID-19 juga menyaksikan proses pendigitalan dalam sistem pendidikan termasuk kaedah penandaan kertas jawapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibuat secara dalam talian dan ini nyata lebih efektif dan menjimatkan masa.


Namun, beliau berkata sesi secara bersemuka tetap menjadi kaedah terbaik bagi menilai prestasi murid secara keseluruhan dan KPM akan memastikan sekolah dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat apabila situasi COVID-19 terkawal dan sesi bersemuka dapat kembali dijalankan.


Beliau menambah KPM juga akan memastikan semua guru di negara ini diberi keutamaan menerima vaksin COVID-19 bagi mewujudkan suasana selamat di sekolah.


Radzi turut mengucapkan 'Selamat Hari Guru' kepada semua warga pendidik negara ini dan menyeru guru menggunakan kaedah terbaik dan kreatif sepanjang pelaksanaan PdPR dalam tempoh dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri ini. – BERNAMA


i-Guru yakin PdPR lebih lancar, berkesan


SEREMBAN: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) yakin pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini lebih lancar dan berkesan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata keyakinan itu berlandaskan pengalaman yang dilalui sepanjang mengendalikan PdPR sebelum ini.


Katanya, pengalaman yang dilalui telah mematangkan warga guru untuk terus menimba ilmu dan mempraktikkan kemahiran digital bagi meningkatkan kompetensi diri serta membantu murid mengikuti PdPR dengan baik.

"Sebagai pendidik dalam menyampaikan ilmu kepada anak didik tanpa mengira latar belakang, di desa atau bandar, miskin atau berada, pelbagai anutan agama dan bangsa, setiap guru berdepan cabaran.

"Namun, saya yakin pengalaman mereka untuk mengendalikan PdPR sepanjang PKP kali ini lebih meyakinkan kerana pengalaman sebelum ini akan dapat memastikan proses itu lebih lancar dan berkesan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, guru perlu melengkapkan diri dengan segala kompetensi dan berusaha meningkatkan kemahiran baharu untuk menghadapi dunia pendidikan yang bersifat digital.

Katanya, sebagai tonggak pendidikan negara, guru adalah nukleus utama dalam membangunkan anak bangsa dan mencorak masa depan mereka.

Dalam pada itu, Mohd Azizee berharap kerajaan meningkatkan lagi akses capaian internet di kawasan luar bandar dan pendalaman bagi membantu pelaksanaan PdPR ini.

Beliau berkata, proses bantuan alat peranti kepada murid dari kalangan keluarga B40 juga perlu disegerakan.

"Kita akui capaian internet di kawasan luar bandar dan pendalaman masih belum begitu baik dan usaha meningkatkan lagi perlu dilaksanakan.

"Kementerian Pendidikan (KPM) juga diharap dapat menyediakan insentif khas untuk warga guru dalam memanfaatkan pengajaran digital dengan tambahan pemberian data internet dan kos pembelian alat bantu mengajar secara digital.

"Kami juga berharap, KPM dapat mengurangkan kerja pelaporan dan pengkeranian guru agar mereka dapat fokus kepada kemenjadian murid," katanya.

Katanya, KPM perlu membangunkan aplikasi yang mudah dan mesra pengguna untuk tujuan pelaporan PdPR.

Sementara itu, Mohd Azizee berkata, sambutan Hari Guru 2021 tahun ini cukup signifikan dan menyentuh emosi semua guru kerana disambut dalam kekangan pandemik COVID-19.

Katanya, ia diraikan dalam norma baharu dengan menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan terpaksa memanfaatkan dunia digital untuk menyampaikan mesej sambutan Hari Guru.

"Tahun ini kita meraikan Hari Guru dalam suasana sambutan Hari Raya AidIlfitri serta kes jangkitan positif COVID-19 yang semakin meningkat setiap hari.

"Media digital menjadi wahana menterjemahkan aspirasi penghargaan kepada warga guru yang tidak jemu mendidik generasi meskipun berdepan cabaran pendemik.

"Apa pun kita (warga guru) kena hadapi situasi ini dengan semangat yang tinggi supaya usaha dan tanggungjawab mendidik anak angsa tidak terbantut," katanya. - BHARIAN

PdPR perlu dikaji semula - NUTP


KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas cuti Aidilfitri adalah satu-satunya pilihan terbaik yang ada dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, PdPR itu bukan hanya tertumpu secara atas talian saja tetapi ia mempunyai pelbagai bentuk saluran pengajaran yang diusahakan oleh guru.

Katanya, PdPR secara atas talian atau bersemuka hanya berlaku dalam tempoh tertentu saja dan bukannya sepenuh masa seperti ketika tempoh persekolahan.

"Memandangkan PdPR sudah diumumkan awal oleh Kementerian Pendidikan (KPM), kebanyakan guru mempunyai masa menyediakan pelbagai modul pendidikan untuk diberikan kepada murid.

"Antaranya melakukan rakaman video untuk bahan pembelajaran dan murid tidak perlu untuk membalasnya dengan segera, bergantung kepada keadaan semasa murid berkenaan.

"Selain itu, selama tempoh 10 hari PdPR selepas cuti Aidilfitri, guru-guru juga bersedia dengan tugasan untuk diberikan kepada murid," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau turut berpendapat, pemilikan peranti untuk murid sekolah juga semakin bertambah baik dengan adanya bantuan daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat lain.

"Bahkan julung kalinya, NUTP sendiri menjalinkan kerjasama dengan YTL Foundation pada April lalu untuk membantu memberi peranti bersama data internet percuma kepada 2.7 juta murid berkeperluan dengan konsep siapa cepat dia dapat.

"Jadi perkembangan ini semakin baik dan saya rasa masalah tiada peranti ini akan berkurangan," katanya.

Sementara itu, Prof Sosiologi Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Abdul Razak Ahmad berpendapat, sepanjang PdPR dilaksanakan, ia dilihat seolah tidak mempunyai panduan jelas mengenai bentuk pembelajaran.

Justeru, katanya, perlu ada satu bentuk modul yang boleh dibangunkan oleh pakar untuk memastikan pembelajaran murid berkesan.

"Banyak faktor boleh menjadikan PdPR ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik berdasarkan persekitaran murid, keadaan semasa dan kekangan internet.

"Jadi saya berpendapat perlu ada buku kerja berasaskan buku teks disediakan untuk murid melakukan kerja sekolah di rumah tanpa perlu datang ke sekolah.

"Selain itu, murid juga boleh melakukan penggiliran ke sekolah, di mana apabila selesai melakukan tugasan di buku kerja yang diberi itu, guru hanya perlu menyemak dan berbincang ketika murid datang ke sekolah.

"Ini bermaksud murid mempunyai waktu fleksibel untuk ke sekolah dan dalam masa yang sama penularan COVID-19 dapat dikawal," katanya.

Apabila modul sistem pendidikan seperti ini diwujudkan, katanya, ia boleh menjadikan sistem pendidikan negara ini lebih maju, futuristik dan bukannya hanya tertakluk ketika menangani tempoh pandemik ini saja.

Beliau berkata, ia memandangkan tindakan yang dibuat ketika ini, dilihat seperti berbentuk sementara dengan anggapan pandemik ini akan berakhir tidak lama lagi.

"PdPR tidak boleh dipukul rata kepada semua murid kerana semua orang mempunyai kekangan, jadi perlu ada penyelesaian komprehensif.

"Bagi saya, KPM perlu juga melihat kepada dua faktor iaitu murid yang ada dan tiada kemudahan internet. Bagi yang tiada internet, buku kerja berasaskan buku teks itu adalah cara yang boleh dilakukan, tetapi modul untuk pembelajaran secara atas talian juga perlu difikirkan supaya murid tidak bosan dengan cara yang sama saja.

"Guru kena lebih kreatif, bukan hanya melaksanakan seperti mengajar di sekolah. Apabila pandemik ini berlaku, guru juga seolah perlu dilatih semula untuk proses pengajaran," katanya. - BHARIAN


Murid di asrama, KTE, KV dibenar pulang beraya


PUTRAJAYA – Murid-murid di asrama sekolah, Kolej Tingkatan Enam (KTE) dan Kolej Vokasional (KV) dibenarkan pulang sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.

Kebenaran itu secara berperingkat mulai 6 Mei depan bagi Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 7 Mei bagi sekolah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, murid dibenarkan pulang melalui beberapa kaedah iaitu menaiki bas yang disediakan oleh pihak sekolah atau dijemput oleh ibu bapa dan penjaga.

Katanya, mereka juga boleh menggunakan pengangkutan udara atau air untuk ke Sabah, Sarawak dan Labuan selain menggunakan kenderaan sendiri bagi pelajar tingkatan enam dan pelajar KV sahaja.

“Pihak sekolah, KTE, KV akan memaklumkan jadual pergerakan pulang murid kepada ibu bapa dan penjaga.

“Pihak terbabit akan mengeluarkan surat pengesahan bagi tujuan pergerakan merentas negeri atau zon jika ibu bapa atau penjaga menjemput anak atau anak jagaan masing-masing.

“Kebenaran ini adalah untuk dua orang ibu bapa atau penjaga sahaja dalam setiap kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, KPM berkata, murid yang sedang dalam tempoh kuarantin perlu kekal berada  di asrama sehingga tamat tempoh kuarantin manakala murid yang asramanya berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu kekal berada di asrama hingga tamat tempoh PKPD. -K! ONLINE