APA YANG TERBARU?
Loading...
Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

 


JELEBU : Kelas untuk subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra di sini bukan hanya terhad di dalam bilik darjah.


Sebaliknya, menerusi kreativiti dan kesungguhan guru besar sekolah berkenaan, murid turut diberikan peluang untuk bercucuk tanam dalam projek fertigasi D'Putra.


Guru besar, Syed Zulkafli Syed Abdul Karim, berkata projek berkenaan dimulakan sejak Oktober lalu dan hingga kini sudah empat kali tanaman seperti sawi, kangkung dan bayam dituai.


"Kami membuat permohonan kepada Pejabat Pertanian Daerah Jelebu sebelum dua para dan sistem fertigasi dipasang di sekolah.


"Projek ini adalah sebahagian daripada pembelajaran subjek RBT dan berdasarkan pemerhatian, kita mendapati murid lebih seronok belajar apabila dapat ikut serta dalam projek ini.


"Malah mereka aktif bertanya soalan misalnya sama ada sayur boleh atau tidak hidup tanpa menggunakan tanah," katanya.


Tegas Syed Zulkafli, projek itu diseliakan oleh guru pembimbing, Puteri Dang Sari Othman dan ia disertai oleh 15 murid.


"Sayur dituai bukan saja dijual kepada guru tetapi ada juga kalangan penduduk yang membelinya," katanya.


Tegasnya, sekolah berkenaan juga bercadang membesarkan lagi projek fertigasi itu dengan menyemai benih sayur lain pula.


Bagi murid Tahun Lima, Cristiano Sema, dia gembira kerana dapat mempelajari sesuatu yang baharu bukan sahaja secara teori malah diberi peluang mengaplikasikan apa yang dipelajarinya.



" Saya seronok belajar subjek RBT ini disebabkan guru memberi peluang kepada kami untuk merasai sendiri bagaimana proses menanam sayur secara fertigasi bermula daripada penyemaian anak benih dan penjagaan.


" Kita juga diajar bagaimana sistem fertigasi ini berfungsi. Sebelum ini saya tidak mengetahui kaedah ini yang ternyata lebih mudah berbanding menanam sayur di atas tanah," katanya.


Bagi murid Tahun Enam, Yong Kai Ling, pendedahan diberi guru menerusi penanaman sayur secara fertigasi menyebabkan dia lebih bersemangat untuk belajar.


"Apabila ikut dalam projek ini, baru saya tahu teknik ini lebih mudah berbanding tanam sayur atas tanah malah tidak perlu siram air pun.


"Lagipun, sebab ia ditanam di atas para sayur tidak terdedah kepada haiwan ternakan seperti kambing atau ayam," katanya. - Bharian

 


PUTRAJAYA: Operasi Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bagi murid Tahun Satu hingga Enam diteruskan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga sesi persekolahan 2021 berakhir.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi perhatian serius terhadap situasi semasa penularan COVID-19 dan perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN), khususnya dari aspek keselamatan murid dan tenaga pengajar KAFA.

Katanya, Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi calon tahun 2020 dan 2021 subjek bertulis yang dijadualkan serentak pada 15 hingga 18 November akan diganti dengan pelaksanaan berbentuk penilaian sepenuhnya.

Katanya, keputusan ini tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid-murid kepada subjek yang dipelajari bermula dari Tahun Satu hingga Enam.

"Kemenjadian murid-murid dalam pendidikan mampu dinilai melalui pelbagai kaedah. JAKIM akan memaklumkan kaedah serta tarikh pelaksanaan bagi menggantikan ujian bertulis itu," katanya melalui kenyataan hari ini.

Pada12 September lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 3 Oktober.

Idris berkata, pelaksanaan UPKK secara penilaian tidak akan menjejaskan mutu terhadap tahap penguasaan murid dan peluang untuk ke sekolah menengah.

Katanya, keputusan ini diharap guru dan murid hendaklah terus membuat persediaan rapi bagi menghadapi proses selanjutnya yang akan dilaksanakan oleh JAKIM.

"Ibu bapa juga diminta memastikan anak-anak mengikuti aktiviti Pendidikan KAFA secara PdPR.

"JAKIM sentiasa komited untuk memastikan Pendidikan KAFA bergerak seiring demi memastikan kemenjadian murid," katanya. - beritaharian


Kuala Lumpur: Pendekatan penggiliran ke sekolah serta Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah semangat untuk mengembalikan murid kepada sesi persekolahan secara bersemuka.


Ia mengambil kira pelbagai faktor termasuk sesi libat urus bersama pelbagai pihak termasuklah guru, ibu bapa, pentadbir sekolah dan wakil dari kesatuan perguruan.


Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kementeriannya sedar dalam konteks pembukaan sekolah yang lepas, ibu bapa dan masyarakat berpendapat keadaan di luar sekolah adalah selamat, sebaliknya kesesakan berlaku ketika keluar.


"Maka kita duduk berbincang apakah pendekatan terbaik, terutama mengambil kira varian Delta. Sebab itu kita bincang, kita kurangkan murid kepada separuh.


"Apa yang kita tekankan ialah semangatnya kembalikan murid ini ke sekolah, dan kita perlu ingat dalam konteks KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) ada lima juta murid datang daripada pelbagai latar belakang.


"Ada dapat akses Internet, ada peranti boleh belajar di rumah, ada yang jauh ketinggalan dalam konteks pembelajaran bersama guru di sekolah. Mencari titik tengah ini memerlukan satu titik tengah mendalam," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.


Sim Tze Sin (PH- Bayan Baru) meminta penjelasan mengenai perincian pelaksanaan dan bagaimanakah seorang guru mengajar PdP bersemuka dan PdPR pada masa sama.


Katanya, apabila berlaku penggiliran, murid akan mempunyai hubungan langsung dengan guru mereka secara bersemuka dalam keadaan pembelajaran secara semula jadi yang mereka laksanakan sebelum ini.


"Apa yang perlu difahamkan, apabila negeri dibuka secara berfasa, hanya negeri fasa empat yang muridnya hampir semua akan kembali ke sekolah.


"Secara umumnya mereka yang melaksanakan PdPR akan terus dengan PdPR selagi sesi persekolahan bersemuka untuk mereka tidak dimulakan," katanya.


Menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai kesan PdPR kepada murid ke asrama penuh, beliau berkata, untuk kemasukan ke asrama penuh, kementeriannya melaksanakan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).


Menerusinya, murid di seluruh negara dibenarkan menduduki PKSK tidak kira di mana mereka berada.


"Dengan adanya PKSK, ia tidak memfokuskan kepada akademik semata-mata.


"Jadi ia membuka ruang seluas-luasnya untuk anak ini yang mempunyai kebolehan, potensi untuk mendapat ruang kemasukan ke asrama penuh," katanya. - harianmetro


 Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) bagi membantu pendaftaran murid sekolah bagi tujuan vaksinasi Covid-19.


Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata, pihaknya juga mengenal pasti sekolah di seluruh negara untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kepada murid sekolah.


"KPM turut membantu dalam menyediakan petugas dan keperluan logistik untuk tujuan ini.


"Kerjasama strategik KPM dan KKM ini pastinya dapat mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada murid sekolah. KPM komited melakukan yang terbaik," katanya tadi.


Radzi sebelum itu menghadiri pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di SMK Presint 8 (1) di sini, dan turut melihat sendiri pelaksanaan program berkenaan.


Turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi covid-19 Remaja (CITF-A).


Radzi berkata, seramai 323 murid berusia 16 dan 17 tahun dari SMK Putrajaya Presint 8 (1) menjadi kumpulan pertama menerima vaksin Covid-19, selepas pelancaran program PICK Remaja berkenaan secara rasmi.


Katanya, secara keseluruhan, seramai 377,591 murid berusia 16 tahun dan 371,676 murid berusia 17 tahun di seluruh negara.


"Alhamdulillah, proses vaksinasi pagi ini berlangsung dengan teratur dan tersusun.


"Sejurus tiba, murid yang ditemani ibu bapa atau penjaga perlu mendaftar, diambil suhu badan, diikuti sesi kaunseling dan persetujuan sebelum dibenarkan menerima suntikan vaksin," katanya.


PICK Remaja menyasarkan 60 peratus daripada 3.2 juta remaja berusia 12 sehingga 17 tahun menerima sekurang-kurangnya satu dos pada November ini dan 80 peratus menerima dos lengkap pada Januari," katanya. - harianmetro



 Putrajaya: Pelajar dibenarkan untuk tidak memakai pakaian seragam jika pakaian sedia ada sudah tidak lagi muat.


Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, namun, murid perlu memakai pakaian yang sopan, kemas dan sesuai untuk ke sekolah.


Katanya, langkah itu bagi membolehkan semua murid hadir ke sekolah sesuai semangat membawa kembali pelajar ke sekolah.


"Kita tidak mahu beri tekanan kepada ibu bapa menyediakan pakaian baharu... matlamat kita hanya mahu anak-anak ke sekolah sahaja," katanya.


Beliau berkata, selain itu, setakat ini, aktiviti sukan dan kokurikulum belum dibenarkan, namun untuk aktiviti Pendidikan Kesihatan dan Jasmani (PJK), murid disaran untuk memakai pakaian sukan di rumah.


"Sementara itu, bagi waktu rehat, murid akan dibenarkan makan di dalam kelas, namun bagi kelas yang ada penghawa dingin, mereka perlu makan di luar dengan pengawasan guru," katanya. - harianmetro

 .


Kuala Lumpur: Sistem persekolahan secara penggiliran adalah kaedah terbaik boleh dilakukan bagi memastikan kelangsungan sesi Pengajaran dan Pembelajaran dapat dijalankan.


Menerusi kaedah itu, murid dapat mengikuti pembelajaran secara bersemuka di sekolah, manakala satu lagi kumpulan belajar meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pihaknya berpuas hati dengan langkah diumum kerajaan, sambil menyifatkannya langkah terbaik bagi mengelak keciciran dalam pembelajaran.


"Sebelum ini NUTP sudah memberikan cadangan penggiliran ini.


"Ia kaedah tepat untuk memastikan murid dapat ke sekolah serta pada masa sama, dapat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) iaitu 50 peratus kehadiran secara bersemuka," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, masalah utama ketika persekolahan secara bersemuka diadakan ialah ketika waktu pulang apabila berlaku kesesakan di luar jangka.


Menurutnya, biarpun dikawal guru, jumlah begitu ramai keluar sekolah pada satu-satu masa menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal.


"Kami menyambut baik sesi persekolahan dilanjutkan ke tahun depan kerana ia dapat memberi peluang kepada guru untuk menilai PdPR dan persekolahan sebelum ini.


"Ia memang langkah baik kerana kita dapat melakukan persediaan kepada semua termasuk murid, kita harap tahun depan sesi persekolahan akan diadakan secara bersemuka sepenuhnya," katanya.


Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dalam satu sidang media berkata, sesi persekolahan bagi tahun ini akan dilanjutkan sehingga Feb 2022 dan sesi tahun depan bermula 1 Mac 2022.


Katanya, ia tempoh bagi melihat tahap penguasaan murid dan pelajar selain memastikan mereka lebih bersedia memasuki sesi persekolahan baharu. - harianmetro

 


KUALA LUMPUR - Tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah pada 3 Oktober iaitu dilewatkan berbanding 1 September seperti yang diumum sebelum ini.


Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bagaimanapun berkata, pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri-negeri dalam Fasa Satu PPN.


Beliau berkata, bagi negeri-negeri Fasa Dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan manakala bagi Fasa Tiga, pembukaan penuh dibenarkan.


“Ini adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN)... jadi, kita tidak boleh menyatakan 1 September akan buka semua (sekolah). Keselamatan murid adalah keutamaan kerajaan.


“Sasaran dan hasrat kita pada 1 September (untuk pembukaan sekolah) namun tertakluk kepada penilaian risiko yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN dengan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan,” katanya menerusi video dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau pada Ahad malam.


Radzi berkata, keadaan semasa negeri termasuk kadar vaksinasi dan kapasiti fasiliti kesihatan juga perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan mengenai pembukaan semula sekolah dicapai.


Beliau berkata, keputusan akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh pembukaan semula sekolah.


Radzi turut mengulas inisiatif bagi murid yang ketinggalan sekiranya sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan.

“Bagi murid Tahun Satu dan Dua yang mungkin agak ketinggalan dari segi pembacaan literasi dan numerasi, kita sediakan program pembugaran bagi membolehkan mereka menguasai tahap minimum,” katanya.


Pada 17 Julai lalu, KPM memaklumkan ketetapan pembukaan sekolah secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September selepas mengambil kira kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan sekolah.


Bagaimanapun, KPM turut menyatakan bahawa penilaian risiko oleh KKM dan MKN diambil kira sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh itu.


Sementara itu, Radzi dalam hantaran berbeza memaklumkan sebanyak 102,352 peranti telah diagih kepada murid yang layak sehingga hari ini di bawah inisiatif Cerdik.


Beliau memaklumkan pengagihan baki 47,648 peranti lagi dijangka selesai sebelum akhir September 2021.


Cerdik adalah inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan bagi membantu keluarga berpendapatan rendah menyesuaikan diri dengan normal baharu pembelajaran secara dalam talian, e-pembelajaran serta bentuk lain pengajaran jarak jauh. - Sinar Harian


KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 1 September ini.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata langkah itu perlu memandangkan semua pihak kini sedia maklum akan situasi penularan pandemik COVID-19 yang makin mengganas dengan jangkitan baharu harian amat tinggi mencecah lebih 20,000 kes.

"Walaupun kadar vaksinasi dua dos sudah melebihi 30 peratus, tetapi ia tidak menjamin keselamatan nyawa rakyat. Hari ini jumlah kes positif sebanyak 20,780 kes. Setiap hari kadar kematian mencapai angka 100 hingga 300 orang.

"Melihat angka jangkitan harian, pastinya ibu bapa juga tidak yakin untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah. Ketika ini, NUTP menerima maklum balas daripada ibu bapa dan guru yang tidak berpuas hati dengan cadangan KPM membuka sesi persekolahan secara bersemuka mulai 1 September.

"Masa sama, sesi persekolahan hanya tinggal 10 minggu sahaja lagi dari 1 September hingga 11 Disember 2021," katanya kepada BH.

KPM dalam kenyataan pada 17 Julai lalu, memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September ini, manakala pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos.

Keputusan itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Aminuddin berkata, susulan situasi semasa, NUTP menegaskan keperluan kerajaan menangguh pembukaan sekolah dan memberi tumpuan kepada usaha mengatasi kekurangan PdPR seperti menaik taraf kemudahan internet.

"NUTP mengharapkan KPM mempertimbangkan masalah kelajuan internet yang dihadapi pelajar, selain menyalurkan bantuan internet percuma kepada keluarga B40.

"Selain itu, tumpuan juga perlu diberikan kepada guru dengan pakej internet yang istimewa bagi membantu meningkatkan kemahiran guru dalam PdPR. - Bharian

 

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) merayu segelintir guru yang tidak mahu menerima suntikan vaksin COVID-19 supaya mempertimbangkan keputusan itu.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, berkata guru berkenaan diminta mendapatkan khidmat nasihat doktor dan pakar kesihatan serta tidak terpengaruh dengan maklumat tidak tepat mengenai vaksin di media sosial.

"Kita merayu bukan saja kepada guru tapi semua rakyat yang menolak vaksin supaya mempertimbangkan isu ini semula.

"Menerima atau tolak vaksin adalah hak semua individu di Malaysia, kita hanya boleh memberi nasihat dan pandangan saja," katanya kepada BH, hari ini.

Ketika menggulung sesi perbahasan mengenai Program Vaksinasi pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, 28 Julai lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin memaklumkan, terdapat sebilangan guru yang menolak vaksin.

Beliau meminta pihak pentadbir sekolah membuat capaian kepada golongan itu supaya jangkitan COVID-19 tidak berlaku selepas sekolah dibuka pada 1 September ini.

Selain itu katanya, sehingga 27 Julai lalu, seramai 303,682 guru (73.5 peratus), 45,197 anggota kumpulan pelaksana (67 peratus) dan 33,633 pekerja perkhidmatan sokongan kontrak (38 peratus) sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pula dilaporkan menyeru guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan pekerja perkhidmatan sokongan untuk segera mendapatkan vaksin Covid-19 secara 'walk-in' bagi kumpulan khas yang disenaraikan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Katanya, berkata, perincian mengenai pemberian vaksin secara 'walk-in' bagi kumpulan khas sekolah di bawah Kementerian Pendidikan termasuk keperluan dokumen sokongan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

"Usaha untuk memastikan mereka yang berada dalam ekosistem pendidikan di sekolah menerima vaksin akan terus dipergiatkan melalui Pasukan Petugas Khas KPM-CITF," katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam. - Bharian

 


KUALA LUMPUR: Sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini.

Menurut Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini, berkata sehubungan itu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos.

Keputusan itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan," katanya.

Kenyataan itu menambah, Kementerian Pendidikan sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan.

Katanya, sehingga semalam seramai 253,366 atau 61.3 peratus guru dan pentadbir serta 10,876 atau 46.33 peratus kakitangan sokongan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Mengambil kira kadar vaksinasi ini, Kementerian Pendidikan telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September 2021," katanya.

Bagaimanapun Kementerian Pendidikan akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh berkenaan.

Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal dan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka.

"Kementerian Pendidikan sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," menurut kenyataan itu. - Berita Harian

 


KUALA LUMPUR: Takwim persekolahan Kementerian Pendidikan (KPM) 2021 bagi negeri yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kekal seperti diumumkan pada 6 Jun lalu.

Merujuk peralihan fasa bagi Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang berkuat kuasa esok, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid kelas peperiksaan kekal secara PdP di rumah (PDPR).

"Sesi PdP murid kelas peperiksaan di Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan terus dilaksanakan secara PdPR sehingga cuti pertengahan penggal yang akan bermula pada 16 Julai bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri Kumpulan B," kata kementerian.

Makluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi persekolahan penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai bagi negeri Kumpulan A dan 26 Julai bagi negeri Kumpulan B akan dibuat oleh KPM sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan terbabit bermula.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 2 PPN, sekolah dibenar beroperasi untuk sesi PdP bersemuka, tetapi terhad murid kelas peperiksaan, selain kebenaran rentas negeri dan daerah bagi guru dan murid kelas peperiksaan sekiranya sekolah dibuka.

Kenyataan itu memaklumkan, pemberitahuan lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi persekolahan penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai bagi negeri Kumpulan A dan 26 Julai bagi negeri Kumpulan B akan dibuat KPM sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan itu bermula. - Berita Harian

 


KLUANG: Pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak hanya meliputi pembelajaran dalam talian semata-mata, sebaliknya turut merangkumi bahan bantuan pembelajaran berbentuk manual.


Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin, berkata bahan manual itu boleh disediakan mengikut kesesuaian guru dan murid di sesebuah sekolah setelah melihat kekangan yang dihadapi.


"Banyak pendekatan yang boleh digunakan antaranya menyiapkan bahan-bahan manual untuk dihantar terus kepada murid atau disediakan di sekolah untuk diambil oleh ibu bapa. Ia bukan semata-mata secara dalam talian.


"Pelbagai kaedah yang dirasakan sesuai boleh dilakukan kerana kita sedar ada sekolah atau murid di kawasan luar bandar tidak mempunyai akses internet, jadi alternatif lain harus digunakan," katanya selepas penyerahan set komputer riba secara pandu lalu kepada 71 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Kahang Timur, hari ini.


Katanya, bagi DidikTV, kementerian mendapat maklum balas yang cukup baik apabila ramai ibu bapa dan murid berpuas hati dengan kaedah dan kualiti penyampaian pembelajaran yang ditunjukkan guru terlibat.


Sementara itu, ditanya berhubung isu kelemahan capaian internet bagi pelaksanaan PdPR di kawasan luar bandar, Radzi berkata, beliau pasti Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang melihat dan memberikan keutamaan kepada usaha penyediaan akses internet kepada seluruh kawasan dalam negara. - Bernama

 

Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menilai semula pelaksanaan beberapa program yang boleh mengganggu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).


Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan berkata, program tersebut termasuk Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) dan Perancangan Strategik Organisasi (PSO) Pembudayaan KBAT; serta pelaksanaan Penarafan Sekolah Peluasan yang membudayakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT); kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Dialog Prestasi; Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) dan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP).


"KPM perlu menilai semula pelaksanan program berkenaan kerana ia akan menambah beban serta mengganggu tumpuan guru ketika melaksanakan PdPR," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Tan berkata, pendidik perlu memberi tumpuan penuh kepada PdPR kerana murid dilihat masih belum mendapat pendidikan yang sempurna sejak pandemik Covid-19 berikutan PdP secara bersemuka kerap tergendala.


Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya mengalukan pelaksanaan program yang sudah disusun atur itu, namun ketika ini NUTP berpandangan perlu memberi tumpuan kepada pendidikan terlebih dahulu.


Justeru, Tan berkata, NUTP meminta program lain ditangguhkan buat sementara waktu dengan memberi ruang kepadaguru memberi tumpuan penuh penambahbaikan PdPR.


"Penerimaan dan keberkesanan PdPR terhadap murid perlu dijadikan perkara paling utama dalam pendidikan ketika ini," katanya. - Harian Metro

 


Kuala Lumpur: Pengoperasian sekolah melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bermula 13 dan 14 Jun ini selama 25 hari persekolahan mengikut kumpulan negeri masing-masing.


Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ketika ini, sesi persekolahan dalam cuti pertengahan tahun dan sesi persekolahan berikutnya mengikut takwim akan bermula 13 Jun ini bagi negeri Kumpulan A dan 14 Jun bagi negeri Kumpulan B.


Beliau berkata, pelajar akan mengikuti PdPR selama 25 hari persekolahan sehingga cuti berikutnya iaitu cuti pertengahan penggal yang bermula 16 Julai bagi negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 Julai negeri Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).


"Cuti pertengahan penggal sehingga 26 Julai untuk negeri Kumpulan B dan 25 Julai untuk Kumpulan A, jadi itulah takwim atau jadual penggal persekolahan yang ada dan berkuatkuasa pada hari ini.


"Memandangkan mengikut takwim ini sekolah akan bermula semula pada 13 dan 14 Jun, tentunya ramai ibu bapa tertanya-tanya apakah pendekatan dilaksanakan untuk tempoh 25 hari persekolahan ini.


"Mengambil kira situasi semasa, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan bahawa untuk tempoh 25 hari persekolahan ini, kita akan laksanakan PdPR iaitu pengajaran dan pembelajaran di rumah.


"Ketetapan ini terpakai untuk semua sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang berdaftar dengan KPM perlu melaksanakan PdPR di sepanjang tempoh ini berdasarkan takwim masing-masing," katanya pada sidang media khas secara maya, hari ini.


Beliau berkata, seminggu sebelum cuti pertengahan penggal terbabit berakhir, KPM akan memaklumkan kepada ibu bapa dan murid mengenai pendekatan selanjutnya berdasarkan situasi pada waktu itu. - Bharian


PUTRAJAYA – Murid-murid di asrama sekolah, Kolej Tingkatan Enam (KTE) dan Kolej Vokasional (KV) dibenarkan pulang sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.

Kebenaran itu secara berperingkat mulai 6 Mei depan bagi Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 7 Mei bagi sekolah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, murid dibenarkan pulang melalui beberapa kaedah iaitu menaiki bas yang disediakan oleh pihak sekolah atau dijemput oleh ibu bapa dan penjaga.

Katanya, mereka juga boleh menggunakan pengangkutan udara atau air untuk ke Sabah, Sarawak dan Labuan selain menggunakan kenderaan sendiri bagi pelajar tingkatan enam dan pelajar KV sahaja.

“Pihak sekolah, KTE, KV akan memaklumkan jadual pergerakan pulang murid kepada ibu bapa dan penjaga.

“Pihak terbabit akan mengeluarkan surat pengesahan bagi tujuan pergerakan merentas negeri atau zon jika ibu bapa atau penjaga menjemput anak atau anak jagaan masing-masing.

“Kebenaran ini adalah untuk dua orang ibu bapa atau penjaga sahaja dalam setiap kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, KPM berkata, murid yang sedang dalam tempoh kuarantin perlu kekal berada  di asrama sehingga tamat tempoh kuarantin manakala murid yang asramanya berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu kekal berada di asrama hingga tamat tempoh PKPD. -K! ONLINE



KUALA LUMPUR- Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini, kata Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin. 

Beliau turut memaklumkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan. Radzi mengumumkan perkara itu menerusi sidang akhbar khas di sini pada Rabu. “Selaras dengan pemansuhan UPSR, Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) bagi murid berkeperluan khas masalah pembelajaran juga dimansuhkan,” katanya. 

Beliau berkata dengan pemansuhan UPSR, kaedah pentaksiran murid Tahun 6 akan diberi tumpuan pada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mulai tahun ini dan kemasukan ke asrama untuk 2022, akan berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK). Menjelas lanjut Radzi berkata, keputusan pemansuhan UPSR itu dibuat setelah mendapat pandangan dan input menerusi pelbagai proses libat urus melibatkan lebih 1,700 peserta terdiri daripada guru, ibu bapa, murid serta kesatuan dan persatuan seluruh negara dalam pelbagai sesi yang diadakan. 

Beliau berkata, antara pandangan diperoleh dari sesi libat urus berkenaan daripada guru ialah apabila mereka terpaksa menghabiskan banyak masa di sekolah bagi memberi tumpuan untuk cuba menghabiskan sukatan pelajaran secepat mungkin bagi membolehkan latih tubi UPSR dapat dijalankan.

Katanya, ada guru menceritakan bagaimana mereka terpaksa ‘mencuri’ masa mata pelajaran lain yang tiada peperiksaan khusus bagi membolehkan tumpuan diberi untuk murid-murid membuat persiapan UPSR, sekali gus mengurangkan ruang untuk guru menggunakan kreativiti dalam menyampaikan pengajaran di sekolah. 

Ibu bapa pula, kata beliau, ada yang berkongsi bagaimana tumpuan kepada UPSR yang dianggap sebagai peperiksaan penting itu telah menyebabkan anak-anak mereka mendapat ruang terhad terhadap aspek lain dalam pendidikan memandangkan ada yang mula dihantar ke kelas tuisyen seawal Tahun 1.

Radzi berkata, menerusi pertemuan dengan murid-murid, kebanyakan mereka melihat UPSR sebagai komponen untuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), namun ketika PKSK dilaksanakan tahun lepas untuk kemasukan ke SBP atau sekolah khusus, hanya satu per empat daripada keseluruhan murid Tahun 6 2020 menduduki peperiksaan itu. 

“Jadi kita lihat bahawa sekiranya diberi pilihan tidak semua murid yang ingin menduduki peperiksaan khusus untuk ke asrama penuh,” katanya dan menambah, murid juga menghadapi tekanan menghadiri pelbagai kelas selepas waktu sekolah. 

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul. Mengenai PT3, beliau menjelaskan, asas utama dipertimbangkan untuk membatalkan peperiksaan itu tahun ini adalah setelah mengambil kira masa pelajar untuk membuat persediaan khususnya secara bersemuka di sekolah berikutan penularan Covid-19.

Sehubungan itu, beliau berkata, kaedah pentaksiran bagi peperiksaan itu untuk tahun ini adalah sama seperti tahun lepas iatu menerusi PBS yang turut merangkumi komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikokemterik (PPsi). “PT3 dibatalkan tahun ini namun pentaksiran ini kekal dalam sistem pentaksiran kebangsaan dan ini berbeza dengan UPSR yang dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021,” katanya. -Sinar Harian

sk putra

 PUTRAJAYA - Sesi pembelajaran selepas cuti Hari Raya Aidilfitri akan diteruskan dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah, kata Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Md Jidin.


Sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (sekolah-sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).


Radzi berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 di sekolah selepas cuti sekolah bagi meraikan perayaan Aidilfitri yang dijadualkan pada 7 hingga 15 Mei bagi sekolah kumpulan A dan 8 sehingga 16 Mei bagi sekolah kumpulan B.


Beliau berkata, selepas tempoh PdPR itu, murid dan pelajar akan menyambung cuti penggal yang bermula 28 Mei sehingga 12 Jun bagi sekolah kumpulan A dan 29 Mei sehingga 13 Jun bagi sekolah kumpulan B.



"Ini sesuatu yang baharu kita belajar. Jika tahun lalu ketika perayaan Aidilfitri sekolah tutup ketika itu, jadi kita tidak tahu data selepas raya macam mana.


"Kita khuatir terutama mereka yang akan pulang ke asrama kerana menjangkakan ada jangkitan yang akan didapati dari luar, jadi kita ambil langkah ini untuk mengawal penularan tersebut kerana selepas perayaan pelajar berada di rumah lebih lama," katanya pada sidang media di sini pada Isnin.


Radzi berkata, pelajar dan murid yang tinggal di asrama sekolah di bawah KPM di seluruh negara turut akan dibenarkan pulang bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dan juga akan melalui PdPR dalam tempoh dua minggu selepas cuti itu.


Sebelum ini takwim sekolah bagi 2021 menetapkan selepas cuti Aidilfitri, pelajar dan murid perlu hadir semula ke sekolah bagi meneruskan sesi pembelajaran selama dua minggu dan bercuti penggal selepas itu. -Bernama

 


JELEBU: Kemunculan watak ‘Angry Bird’ dan maskot bunga matahari bagi menyambut kehadiran murid tahun satu dan dua menggamit suasana ceria hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra, dekat sini.

Kehadiran murid tahap satu di sekolah tersebut juga disambut oleh guru-guru dengan murid turut diberikan hadiah saguhati berbentuk alat tulis sebagai pembakar semangat memulakan persekolahan mereka.

Guru Besar SK Putra, Syed Zulkafli Syed Abdul Karim berkata, seramai 13 orang murid tahun satu dan 23 orang murid tahun dua mula mendaftar di sekolah tersebut hari ini.

“Pada hari ini, dua orang guru memakai kostum ‘Angry Bird’ dan maskot bunga matahari bagi memberi motivasi kepada murid pada pagi ini.

“Kami juga turut menyediakan hadiah kepada murid yang aktif semasa mengikuti sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR). Kami akan memberi hadiah kepada mereka yang menyiapkan latihan yang diberikan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, seramai tujuh daripada 13 orang murid tahun satu yang mendaftar adalah murid Orang Asli.

“Pihak sekolah juga akan mengadakan program transisi untuk murid tahun satu selama 43 hari.

“Kami melihat ada juga murid tahun satu yang menangis pada pagi ini namun, kehadiran guru-guru di pagar sekolah sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada mereka,” katanya.

SK Putra mempunyai seramai 158 orang murid termasuk prasekolah dengan 95 peratus daripadanya merupakan murid Orang Asli.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Md. Fiah Md. Jamin memaklumkan, seramai 18,343 murid tahun satu dan 17,611 murid tahun dua memulakan sesi persekolahan di negeri ini hari ini. -K!ONLINE


 




JELEBU: Seramai lapan orang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Putra dekat sini mengambil inisiatif masuk ke Kampung Orang Asli Lakai bagi membantu mengajar dan menghantar modul pembelajaran untuk anak-anak di kampung berkenaan. Inisiatif itu dibuat supaya golo­ngan berkenaan dapat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).