APA YANG TERBARU?
Loading...

PdPR turut liputi bahan pembelajaran manual, bukan hanya dalam talian

 


KLUANG: Pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak hanya meliputi pembelajaran dalam talian semata-mata, sebaliknya turut merangkumi bahan bantuan pembelajaran berbentuk manual.


Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin, berkata bahan manual itu boleh disediakan mengikut kesesuaian guru dan murid di sesebuah sekolah setelah melihat kekangan yang dihadapi.


"Banyak pendekatan yang boleh digunakan antaranya menyiapkan bahan-bahan manual untuk dihantar terus kepada murid atau disediakan di sekolah untuk diambil oleh ibu bapa. Ia bukan semata-mata secara dalam talian.


"Pelbagai kaedah yang dirasakan sesuai boleh dilakukan kerana kita sedar ada sekolah atau murid di kawasan luar bandar tidak mempunyai akses internet, jadi alternatif lain harus digunakan," katanya selepas penyerahan set komputer riba secara pandu lalu kepada 71 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Kahang Timur, hari ini.


Katanya, bagi DidikTV, kementerian mendapat maklum balas yang cukup baik apabila ramai ibu bapa dan murid berpuas hati dengan kaedah dan kualiti penyampaian pembelajaran yang ditunjukkan guru terlibat.


Sementara itu, ditanya berhubung isu kelemahan capaian internet bagi pelaksanaan PdPR di kawasan luar bandar, Radzi berkata, beliau pasti Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang melihat dan memberikan keutamaan kepada usaha penyediaan akses internet kepada seluruh kawasan dalam negara. - Bernama

Tangguh program ganggu PdPR: NUTP

 

Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menilai semula pelaksanaan beberapa program yang boleh mengganggu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).


Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan berkata, program tersebut termasuk Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) dan Perancangan Strategik Organisasi (PSO) Pembudayaan KBAT; serta pelaksanaan Penarafan Sekolah Peluasan yang membudayakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT); kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Dialog Prestasi; Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) dan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP).


"KPM perlu menilai semula pelaksanan program berkenaan kerana ia akan menambah beban serta mengganggu tumpuan guru ketika melaksanakan PdPR," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Tan berkata, pendidik perlu memberi tumpuan penuh kepada PdPR kerana murid dilihat masih belum mendapat pendidikan yang sempurna sejak pandemik Covid-19 berikutan PdP secara bersemuka kerap tergendala.


Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya mengalukan pelaksanaan program yang sudah disusun atur itu, namun ketika ini NUTP berpandangan perlu memberi tumpuan kepada pendidikan terlebih dahulu.


Justeru, Tan berkata, NUTP meminta program lain ditangguhkan buat sementara waktu dengan memberi ruang kepadaguru memberi tumpuan penuh penambahbaikan PdPR.


"Penerimaan dan keberkesanan PdPR terhadap murid perlu dijadikan perkara paling utama dalam pendidikan ketika ini," katanya. - Harian Metro

PdPR selama 25 hari selepas cuti pertengahan tahun

 


Kuala Lumpur: Pengoperasian sekolah melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bermula 13 dan 14 Jun ini selama 25 hari persekolahan mengikut kumpulan negeri masing-masing.


Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ketika ini, sesi persekolahan dalam cuti pertengahan tahun dan sesi persekolahan berikutnya mengikut takwim akan bermula 13 Jun ini bagi negeri Kumpulan A dan 14 Jun bagi negeri Kumpulan B.


Beliau berkata, pelajar akan mengikuti PdPR selama 25 hari persekolahan sehingga cuti berikutnya iaitu cuti pertengahan penggal yang bermula 16 Julai bagi negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 Julai negeri Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).


"Cuti pertengahan penggal sehingga 26 Julai untuk negeri Kumpulan B dan 25 Julai untuk Kumpulan A, jadi itulah takwim atau jadual penggal persekolahan yang ada dan berkuatkuasa pada hari ini.


"Memandangkan mengikut takwim ini sekolah akan bermula semula pada 13 dan 14 Jun, tentunya ramai ibu bapa tertanya-tanya apakah pendekatan dilaksanakan untuk tempoh 25 hari persekolahan ini.


"Mengambil kira situasi semasa, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan bahawa untuk tempoh 25 hari persekolahan ini, kita akan laksanakan PdPR iaitu pengajaran dan pembelajaran di rumah.


"Ketetapan ini terpakai untuk semua sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang berdaftar dengan KPM perlu melaksanakan PdPR di sepanjang tempoh ini berdasarkan takwim masing-masing," katanya pada sidang media khas secara maya, hari ini.


Beliau berkata, seminggu sebelum cuti pertengahan penggal terbabit berakhir, KPM akan memaklumkan kepada ibu bapa dan murid mengenai pendekatan selanjutnya berdasarkan situasi pada waktu itu. - Bharian