JELEBU: Kemunculan watak ‘Angry Bird’ dan maskot bunga matahari bagi menyambut kehadiran murid tahun satu dan dua menggamit suasana ceria hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra, dekat sini.
Kehadiran murid tahap satu di sekolah tersebut juga disambut oleh guru-guru dengan murid turut diberikan hadiah saguhati berbentuk alat tulis sebagai pembakar semangat memulakan persekolahan mereka.
Guru Besar SK Putra, Syed Zulkafli Syed Abdul Karim berkata, seramai 13 orang murid tahun satu dan 23 orang murid tahun dua mula mendaftar di sekolah tersebut hari ini.
“Pada hari ini, dua orang guru memakai kostum ‘Angry Bird’ dan maskot bunga matahari bagi memberi motivasi kepada murid pada pagi ini.
“Kami juga turut menyediakan hadiah kepada murid yang aktif semasa mengikuti sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR). Kami akan memberi hadiah kepada mereka yang menyiapkan latihan yang diberikan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, seramai tujuh daripada 13 orang murid tahun satu yang mendaftar adalah murid Orang Asli.
“Pihak sekolah juga akan mengadakan program transisi untuk murid tahun satu selama 43 hari.
“Kami melihat ada juga murid tahun satu yang menangis pada pagi ini namun, kehadiran guru-guru di pagar sekolah sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada mereka,” katanya.
SK Putra mempunyai seramai 158 orang murid termasuk prasekolah dengan 95 peratus daripadanya merupakan murid Orang Asli.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Md. Fiah Md. Jamin memaklumkan, seramai 18,343 murid tahun satu dan 17,611 murid tahun dua memulakan sesi persekolahan di negeri ini hari ini. -K!ONLINE
0 comments:
Post a Comment