APA YANG TERBARU?
Loading...

KPM tangguh buka sekolah ke 3 Oktober

 


KUALA LUMPUR - Tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah pada 3 Oktober iaitu dilewatkan berbanding 1 September seperti yang diumum sebelum ini.


Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bagaimanapun berkata, pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri-negeri dalam Fasa Satu PPN.


Beliau berkata, bagi negeri-negeri Fasa Dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan manakala bagi Fasa Tiga, pembukaan penuh dibenarkan.


“Ini adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN)... jadi, kita tidak boleh menyatakan 1 September akan buka semua (sekolah). Keselamatan murid adalah keutamaan kerajaan.


“Sasaran dan hasrat kita pada 1 September (untuk pembukaan sekolah) namun tertakluk kepada penilaian risiko yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN dengan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan,” katanya menerusi video dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau pada Ahad malam.


Radzi berkata, keadaan semasa negeri termasuk kadar vaksinasi dan kapasiti fasiliti kesihatan juga perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan mengenai pembukaan semula sekolah dicapai.


Beliau berkata, keputusan akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh pembukaan semula sekolah.


Radzi turut mengulas inisiatif bagi murid yang ketinggalan sekiranya sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan.

“Bagi murid Tahun Satu dan Dua yang mungkin agak ketinggalan dari segi pembacaan literasi dan numerasi, kita sediakan program pembugaran bagi membolehkan mereka menguasai tahap minimum,” katanya.


Pada 17 Julai lalu, KPM memaklumkan ketetapan pembukaan sekolah secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September selepas mengambil kira kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan sekolah.


Bagaimanapun, KPM turut menyatakan bahawa penilaian risiko oleh KKM dan MKN diambil kira sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh itu.


Sementara itu, Radzi dalam hantaran berbeza memaklumkan sebanyak 102,352 peranti telah diagih kepada murid yang layak sehingga hari ini di bawah inisiatif Cerdik.


Beliau memaklumkan pengagihan baki 47,648 peranti lagi dijangka selesai sebelum akhir September 2021.


Cerdik adalah inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan bagi membantu keluarga berpendapatan rendah menyesuaikan diri dengan normal baharu pembelajaran secara dalam talian, e-pembelajaran serta bentuk lain pengajaran jarak jauh. - Sinar Harian

NUTP rayu tangguh buka sekolah 1 September


KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 1 September ini.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata langkah itu perlu memandangkan semua pihak kini sedia maklum akan situasi penularan pandemik COVID-19 yang makin mengganas dengan jangkitan baharu harian amat tinggi mencecah lebih 20,000 kes.

"Walaupun kadar vaksinasi dua dos sudah melebihi 30 peratus, tetapi ia tidak menjamin keselamatan nyawa rakyat. Hari ini jumlah kes positif sebanyak 20,780 kes. Setiap hari kadar kematian mencapai angka 100 hingga 300 orang.

"Melihat angka jangkitan harian, pastinya ibu bapa juga tidak yakin untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah. Ketika ini, NUTP menerima maklum balas daripada ibu bapa dan guru yang tidak berpuas hati dengan cadangan KPM membuka sesi persekolahan secara bersemuka mulai 1 September.

"Masa sama, sesi persekolahan hanya tinggal 10 minggu sahaja lagi dari 1 September hingga 11 Disember 2021," katanya kepada BH.

KPM dalam kenyataan pada 17 Julai lalu, memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September ini, manakala pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos.

Keputusan itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Aminuddin berkata, susulan situasi semasa, NUTP menegaskan keperluan kerajaan menangguh pembukaan sekolah dan memberi tumpuan kepada usaha mengatasi kekurangan PdPR seperti menaik taraf kemudahan internet.

"NUTP mengharapkan KPM mempertimbangkan masalah kelajuan internet yang dihadapi pelajar, selain menyalurkan bantuan internet percuma kepada keluarga B40.

"Selain itu, tumpuan juga perlu diberikan kepada guru dengan pakej internet yang istimewa bagi membantu meningkatkan kemahiran guru dalam PdPR. - Bharian

Majlis Perasmian Bulan Kebangsaan Peringkat Sekolah SK Putra Tahun 2021



Tahniah Cikgu Diha dan Cikgu Ain - APC 2020

 


Selamat Menyambut Perayaan Hari Orang Asal Sedunia

 


NUTP rayu guru terima vaksin

 

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) merayu segelintir guru yang tidak mahu menerima suntikan vaksin COVID-19 supaya mempertimbangkan keputusan itu.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, berkata guru berkenaan diminta mendapatkan khidmat nasihat doktor dan pakar kesihatan serta tidak terpengaruh dengan maklumat tidak tepat mengenai vaksin di media sosial.

"Kita merayu bukan saja kepada guru tapi semua rakyat yang menolak vaksin supaya mempertimbangkan isu ini semula.

"Menerima atau tolak vaksin adalah hak semua individu di Malaysia, kita hanya boleh memberi nasihat dan pandangan saja," katanya kepada BH, hari ini.

Ketika menggulung sesi perbahasan mengenai Program Vaksinasi pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, 28 Julai lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin memaklumkan, terdapat sebilangan guru yang menolak vaksin.

Beliau meminta pihak pentadbir sekolah membuat capaian kepada golongan itu supaya jangkitan COVID-19 tidak berlaku selepas sekolah dibuka pada 1 September ini.

Selain itu katanya, sehingga 27 Julai lalu, seramai 303,682 guru (73.5 peratus), 45,197 anggota kumpulan pelaksana (67 peratus) dan 33,633 pekerja perkhidmatan sokongan kontrak (38 peratus) sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pula dilaporkan menyeru guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan pekerja perkhidmatan sokongan untuk segera mendapatkan vaksin Covid-19 secara 'walk-in' bagi kumpulan khas yang disenaraikan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Katanya, berkata, perincian mengenai pemberian vaksin secara 'walk-in' bagi kumpulan khas sekolah di bawah Kementerian Pendidikan termasuk keperluan dokumen sokongan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

"Usaha untuk memastikan mereka yang berada dalam ekosistem pendidikan di sekolah menerima vaksin akan terus dipergiatkan melalui Pasukan Petugas Khas KPM-CITF," katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam. - Bharian

Selamat Datang Cikgu Mohd Iqbal..