KAFA secara PdPR hingga akhir tahun
PUTRAJAYA: Operasi Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bagi murid Tahun Satu hingga Enam diteruskan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga sesi persekolahan 2021 berakhir.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi perhatian serius terhadap situasi semasa penularan COVID-19 dan perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN), khususnya dari aspek keselamatan murid dan tenaga pengajar KAFA.
Katanya, Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi calon tahun 2020 dan 2021 subjek bertulis yang dijadualkan serentak pada 15 hingga 18 November akan diganti dengan pelaksanaan berbentuk penilaian sepenuhnya.
Katanya, keputusan ini tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid-murid kepada subjek yang dipelajari bermula dari Tahun Satu hingga Enam.
"Kemenjadian murid-murid dalam pendidikan mampu dinilai melalui pelbagai kaedah. JAKIM akan memaklumkan kaedah serta tarikh pelaksanaan bagi menggantikan ujian bertulis itu," katanya melalui kenyataan hari ini.
Pada12 September lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 3 Oktober.
Idris berkata, pelaksanaan UPKK secara penilaian tidak akan menjejaskan mutu terhadap tahap penguasaan murid dan peluang untuk ke sekolah menengah.
Katanya, keputusan ini diharap guru dan murid hendaklah terus membuat persediaan rapi bagi menghadapi proses selanjutnya yang akan dilaksanakan oleh JAKIM.
"Ibu bapa juga diminta memastikan anak-anak mengikuti aktiviti Pendidikan KAFA secara PdPR.
"JAKIM sentiasa komited untuk memastikan Pendidikan KAFA bergerak seiring demi memastikan kemenjadian murid," katanya. - beritaharian