APA YANG TERBARU?
Loading...

KPM pastikan tiada pelajar tercicir terima vaksin


 Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) bagi membantu pendaftaran murid sekolah bagi tujuan vaksinasi Covid-19.


Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata, pihaknya juga mengenal pasti sekolah di seluruh negara untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kepada murid sekolah.


"KPM turut membantu dalam menyediakan petugas dan keperluan logistik untuk tujuan ini.


"Kerjasama strategik KPM dan KKM ini pastinya dapat mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada murid sekolah. KPM komited melakukan yang terbaik," katanya tadi.


Radzi sebelum itu menghadiri pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di SMK Presint 8 (1) di sini, dan turut melihat sendiri pelaksanaan program berkenaan.


Turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi covid-19 Remaja (CITF-A).


Radzi berkata, seramai 323 murid berusia 16 dan 17 tahun dari SMK Putrajaya Presint 8 (1) menjadi kumpulan pertama menerima vaksin Covid-19, selepas pelancaran program PICK Remaja berkenaan secara rasmi.


Katanya, secara keseluruhan, seramai 377,591 murid berusia 16 tahun dan 371,676 murid berusia 17 tahun di seluruh negara.


"Alhamdulillah, proses vaksinasi pagi ini berlangsung dengan teratur dan tersusun.


"Sejurus tiba, murid yang ditemani ibu bapa atau penjaga perlu mendaftar, diambil suhu badan, diikuti sesi kaunseling dan persetujuan sebelum dibenarkan menerima suntikan vaksin," katanya.


PICK Remaja menyasarkan 60 peratus daripada 3.2 juta remaja berusia 12 sehingga 17 tahun menerima sekurang-kurangnya satu dos pada November ini dan 80 peratus menerima dos lengkap pada Januari," katanya. - harianmetro


0 comments:

Post a Comment